19 Jun 2025 (Khamis) β Perpustakaan Desa Kampung Kuala Serdang, Kuala Pilah telah terpilih sebagai salah satu lokasi lawatan rasmi delegasi antarabangsa CONSAL 19 2025, iaitu Congress of Southeast Asian Librarians (CONSAL), yang menghimpunkan para profesional perpustakaan dari seluruh Asia Tenggara.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada agenda utama 19th Congress of Southeast Asian Librarians (CONSAL), dengan matlamat memberi pendedahan kepada para delegasi mengenai keunikan makanan tradisional, budaya, dan warisan Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, ia menonjolkan peranan penting perpustakaan desa sebagai pemangkin pembangunan komuniti luar bandar serta sebagai pusat ilmu dan budaya masyarakat setempat.
Majlis Daerah Kuala Pilah turut mengambil bahagian dengan mengadakan pameran mengenai inisiatif Sustainable Development Goals (SDGs) di Kuala Pilah, dengan memberi fokus kepada SDG 4: Quality of Education (Pendidikan Berkualiti). Intipati pameran ini adalah untuk menerangkan Voluntary Local Review (VLR) Kuala Pilah 2025 yang berkaitan dengan SDG 4. Matlamat SDG 4 adalah untuk menjamin pendidikan yang inklusif, saksama dan berkualiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.
MDKP berharap menjadi daerah yang menyediakan pendidikan berkualiti, inklusif, dan saksama untuk semua, memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat, memelihara budaya tempatan, serta melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan.






