Focus Group Discussion (FGD) Penyediaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Kuala Pilah 2035

Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dengan kerjasama strategik Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui Unit Satelit Bandar Pintar, Pejabat Projek Zon Selatan (PPZS) telah menganjurkan Focus Group Discussion (FGD) Penyediaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Kuala Pilah 2035 bertempat di Arena Premier Hotel, Seremban.

FGD ini bertujuan mendapatkan input dan pandangan pihak berkepentingan berkaitan idea, inisiatif serta program pintar yang berpotensi dilaksanakan bagi menyokong pembangunan bandar pintar di Daerah Kuala Pilah. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Nawal binti Mohamed Amin, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah.

Aturcara FGD dimulakan dengan pembentangan Agenda Bandar Pintar di Peringkat Nasional oleh Puan Gs. Fitri binti Abd Rahman, Ketua Unit Satelit Bandar Pintar, PPZS. Selepas itu, Taklimat Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Sembilan disampaikan oleh Pn. Athirah binti Ahmad Azmi, Penolong Pengarah PLANMalaysia@Negeri Sembilan. Manakala taklimat perjalanan FGD disampaikan oleh Puan Siti Saufia binti Abd Haddi, Pegawai Perancang Bandar dan Desa, PPZS.

Para peserta yang terdiri daripada Jabatan dan Agensi di Negeri Sembilan dan Daerah Kuala Pilah, penduduk setempat dan persatuan dibahagikan kepada enam (6) kumpulan bagi mengenal pasti inisiatif komponen bandar pintar, isu, cabaran serta mencadangkan penyelesaian dan inisiatif pintar yang bersesuaian dengan konteks tempatan.

Program ini merupakan elemen penting dalam memastikan Pelan Tindakan Bandar Pintar Kuala Pilah 2035 dibangunkan secara inklusif, praktikal dan berimpak tinggi demi kesejahteraan masyarakat setempat.