KEMPEN PASAR MALAM BERSIH 2026 – SANTUNI PENIAGA & PENGUNJUNG PASAR MALAM MELANG

Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) telah mengadakan program ramah mesra bersama Puan Nawal Binti Mohamed Amin, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, bersempena Kempen Pasar Malam Bersih yang berlangsung di Pasar Malam Melang pada petang semalam.

Program ini merupakan salah satu inisiatif MDKP dalam memperkukuh hubungan bersama komuniti setempat, khususnya para peniaga dan pengunjung pasar malam, di samping menyampaikan mesej mengenai kepentingan mengekalkan kebersihan kawasan perniagaan. Sepanjang program berlangsung, Yang Dipertua MDKP turut berkesempatan beramah mesra, bertanya khabar serta mendengar pandangan daripada para peniaga dan pengunjung mengenai kemudahan serta persekitaran pasar malam.

Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan, pengurusan sisa pepejal yang teratur, serta amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat. Program ini turut mendapat sokongan melalui peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai usaha memperkasakan inisiatif kebersihan dan kesejahteraan komuniti di kawasan pihak berkuasa tempatan.

Dalam masa yang sama, para peniaga turut diingatkan supaya mematuhi dasar dan inisiatif kerajaan berkaitan Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna. Peniaga digalakkan menggunakan alternatif yang lebih mesra alam seperti beg biodegradasi, beg kertas atau menggalakkan pelanggan membawa beg dan bekas sendiri bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menyokong amalan perniagaan yang lebih lestari.
Usaha ini amat penting dalam mewujudkan persekitaran pasar malam yang lebih kondusif, selesa dan selamat untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.

MDKP sentiasa komited dalam memastikan kawasan pasar malam berada pada tahap kebersihan yang terbaik demi kesejahteraan peniaga, pengunjung dan komuniti setempat. Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai dalam menjayakan usaha ini agar budaya menjaga kebersihan terus menjadi amalan bersama.

Majlis Daerah Kuala Pilah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas sokongan serta peruntukan yang disalurkan bagi menjayakan Kempen Pasar Malam Bersih. Penghargaan juga diucapkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah atas kerjasama strategik yang diberikan sepanjang pelaksanaan program ini.