1 November 2025 (Sabtu) – Alhamdulillah, selesai sudah acara “Kuala Pilah Cycling Fest – Moh Kayuh Pilah 2.0 Jamboree” yang diadakan di Dataran Dewan Dato’ Bahaman Shamsudin. Program ini bukan sekadar tentang kayuhan basikal atau aktiviti riadah semata-mata. Ia membawa mesej yang jauh lebih besar iaitu memupuk semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup aktif, serta memperkenalkan keindahan dan pesona Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan yang menarik di Negeri Sembilan.
Acara pelepasan “Flag Off” ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Noorzunita Begum bt Mohd Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat. bersama-sama dengan Puan Nawal Binti Mohamed Amin, Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Setiausaha MDKP dan Ahli-ahli Majlis MDKP bagi peserta yang mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 35 kilometer serta kategori fun ride. Ini adalah satu cabaran yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga semangat kerjasama yang tinggi antara peserta.
Apa yang lebih membanggakan, penyertaan kali ini turut melibatkan peserta antarabangsa dari Singapura, Thailand, Indonesia, dan Netherland, selain peserta tempatan dari pelbagai negeri di Malaysia. Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana, tetapi juga membuktikan bahawa Kuala Pilah kini semakin dikenali di peringkat serantau sebagai destinasi pelancongan sukan yang menarik dan berpotensi tinggi.
Pentadbiran ini juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras menjayakan Kuala Pilah Cycling Fest – Moh Kayuh Pilah 2.0 Jamboree ini khususnya kepada Majlis Daerah Kuala Pilah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, PACMEN, para penaja, agensi kerajaan, sukarelawan, serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Acara perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan. Semoga usaha murni ini terus menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat, semangat perpaduan, dan kesejahteraan masyarakat Kuala Pilah keseluruhannya.


