Majlis Daerah Kuala Pilah telah mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Khas Bandar Diraja Seri Menanti bertempat di Arena Premier Seremban.

Pada 21 Julai 2025 (Isnin) – Majlis Daerah Kuala Pilah telah mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Khas Bandar Diraja Seri Menanti bertempat di Arena Premier Seremban.

Bengkel ini diadakan bagi membincangkan gerak kerja pemindahan beberapa kemudahan institusi termasuk dua buah sekolah, sebuah klinik kesihatan, sebuah pejabat pos dan sebuah tadika KEMAS ke lokasi baharu, selaras dengan titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk memastikan pemindahan ini dapat diselesaikan menjelang tahun 2030, bersempena 100 tahun pemerintahan Baginda.

Bengkel ini memberi ruang kepada semua Kementerian dan Jabatan terlibat untuk menyelaras cadangan, mengenal pasti kos, tempoh pelaksanaan serta sebarang isu yang mungkin timbul sepanjang proses ini. Wakil-wakil yang hadir turut diminta memberikan maklum balas bagi membolehkan tindakan susulan, termasuk permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dapat dilaksanakan segera.

MDKP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas komitmen yang ditunjukkan, dengan harapan agar usaha bersama ini dapat menghasilkan keputusan terbaik demi memastikan Pelan Tindakan Khas Bandar Diraja Seri Menanti berjalan lancar dalam tempoh yang ditetapkan.