























Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) hari ini melakar satu lagi sejarah penting menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agensi Angkasa Malaysia – MYSA dalam usaha memperkasa transformasi digital pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan melalui penggunaan teknologi angkasa. Kerjasama strategik ini merupakan hasil perancangan yang bermula sejak Mei 2025 melalui lawatan kerja ke MYSA, diikuti permohonan rasmi kerjasama, penubuhan Pasukan Gerak Kerja Pembangunan Aplikasi serta Mesyuarat Kick-Off sebelum dimeterai secara rasmi.
Melalui kerjasama ini, MDKP akan membangunkan sistem aplikasi berasaskan teknologi satelit dan Geographic Information System (GIS) yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama:
Pemetaan data pegangan cukai bagi mengenal pasti hartanah yang belum didaftarkan serta mengurangkan ketirisan hasil.
Pemantauan pelesenan perniagaan untuk mengesan premis yang beroperasi tanpa lesen atau gagal memperbaharui lesen.
Penguatkuasaan pembangunan dan pemantauan projek melalui imej satelit beresolusi tinggi bagi mengesan pembangunan tanpa kebenaran dengan lebih pantas, tepat dan cekap.
Kerjasama bersama MYSA turut membolehkan MDKP memanfaatkan kepakaran serta akses kepada imej satelit yang dikemas kini secara harian tanpa memerlukan pelaburan infrastruktur yang tinggi, sekali gus menjimatkan kos operasi kerajaan. Inisiatif ini menjadi asas kepada pembangunan Kuala Pilah Smart City, dengan penggunaan teknologi penderiaan jauh, analitik data dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) bagi memperkukuh pengurusan aset, perancangan pembangunan, penguatkuasaan, pemantauan sisa pepejal, perancangan guna tanah, pengurusan bencana serta adaptasi perubahan iklim.
Transformasi digital ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mengurangkan ketirisan hasil, malah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkualiti dan berimpak tinggi. Walaupun MDKP merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang kecil, namun dengan kerjasama strategik, inovasi dan penggunaan teknologi yang tepat, MDKP yakin mampu muncul sebagai sebuah PBT yang progresif, moden dan berdaya saing demi kesejahteraan masyarakat Kuala Pilah.