Pekan Kuala Pilah merupakan salah satu pekan bersejarah yang telah lama terbina dan masih mengekalkan infrastruktur arkitek yang lampau. Kini, kawasan pekan ini telah diindahkan lagi dengan lukisan-lukisan mural yang bersifatkan adat budaya dan warisan. Projek yang dinamakan Singgah Seni Kuala Pilah dengan konsep ‘This Is Pilah Lifestyle’ itu menekankan elemen budaya dan cara hidup masyarakat setempat yang berbilang kaum. Setiap mural yang dilukis mempunyai penceritaan dan keunikan tempat itu tersendiri. Antara mural yang terbesar bagi projek ini adalah terletak di Stesen Bas Lama Kuala Pilah iaitu berukuran sepanjang 72 meter. Singgah Seni terletak di sepanjang laluan pejalan kaki di pusat bandar Kuala Pilah, berhampiran bangunan-bangunan lama yang masih mengekalkan seni bina kolonial. Lokasinya yang strategik hanya mengambil masa sekitar 5 minit berjalan kaki dari terminal bas Kuala Pilah menjadikannya mudah diakses oleh pelawat.