PKKB (Larian Komuniti @ Kuala Pilah)

colour run

17 Mei 2025 (Sabtu)Alhamdulillah, Program Larian Komuniti @ Kuala Pilah yang berlangsung di Dataran Kuala Pilah telah berjaya dilaksanakan dengan meriah. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) atas kejayaan menganjurkan program ini yang bukan sahaja menjadi acara riadah, malah berfungsi sebagai platform memperkukuhkan jaringan sosial antara komuniti, agensi kerajaan, pelajar dan sektor swasta.

Acara pelepasan larian sejauh 5KM telah disempurnakan oleh Puan Nawal binti Mohamed Amin, Yang Dipertua MDKP, dengan kehadiran barisan Ahli Majlis, Ketua Jabatan Daerah, Setiausaha MDKP, Ketua Bahagian MDKP dan rakan strategik yang turut menjayakan program ini. Penyertaan aktif melibatkan pelajar UiTM Kampus Kuala Pilah, Kolej Yayasan Negeri Sembilan, pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kejururawatan Kuala Pilah, PUSPANITA Kuala Pilah dan Lion’s Club Kuala Pilah.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Adnan bin Abu Hassan, Ahli Parlimen Kuala Pilah, bersama ketua-ketua jabatan daerah yang hadir memberikan sokongan terhadap usaha mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat.

Program turut dimeriahkan dengan reruai pameran dan perkhidmatan oleh agensi kerajaan, termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan Kuala Pilah, Pejabat Hutan Kuala Pilah, SWCorp Kuala Pilah, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah, PERKESO Kuala Pilah serta Pejabat Kesihatan Kuala Pilah yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung.

Semoga usaha, penat lelah dan komitmen semua pihak dalam menjayakan Larian Komuniti @ Kuala Pilah ini diberkati Allah S.W.T serta memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat. Tahniah sekali lagi kepada MDKP atas penganjuran cemerlang program ini.