Program Hari Cuci Malaysia

27 September 2025 (Sabtu) – Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada pagi yang penuh bermakna ini, dalam Program Hari Cuci Malaysia, iaitu program pembersihan mega yang diadakan serentak di seluruh negara, bersempena World Clean Up Day 2025.

Majlis ini juga telah dirasmikan oleh Yb Dato’ Haji Saiful Yazan Bin Sulaiman, Adun Johol. Turut hadir bersama Encik Amin Jamail bin Thamimul Ansary, Setiausa MDKP, Ahli-ahli Majlis MDKP, Ketua Bahagian MDKP dan seluruh warga kerja MDKP serta jabatan atau agensi, kejiranan Rumah Rakyat Dangi dan tetamu yang ada bersama-sama bagi menjayakan program ini

Program ini bukan sekadar acara gotong-royong, tetapi ia membawa mesej yang jauh lebih besar. Ia melambangkan kesungguhan kita semua untuk memastikan kawasan ini terus bersih, selamat dan lestari. Usaha menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan, tetapi ia merupakan amanah bersama – amanah rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, atau latar belakang.

Melalui gotong-royong pada pagi ini, kita bukan sahaja membersihkan sampah di sekeliling kita, tetapi juga menyemai semangat kesukarelawanan dan perpaduan. Program ini adalah medan terbaik untuk menyatupadukan masyarakat – di mana pemimpin, rakyat, orang muda dan orang tua sama-sama berganding bahu tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Inilah semangat Keluarga Malaysia, yang mengutamakan kebersamaan dan saling membantu demi kebaikan bersama.

Pihak MDKP juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini – sama ada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, NGO, JPKK, pihak swasta, mahupun para sukarelawan. Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadikan usaha ini sebagai permulaan kepada perubahan besar dalam gaya hidup kita. Semoga setiap tenaga yang dicurahkan pada hari ini dikira sebagai amal ibadah, dan semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dalam membina Malaysia yang bersih, indah, sejahtera dan berdaya saing.

image
image
image
image